Aku sampai di pulau ini tepat jam 12.25 tengah hari. Aku datang ke sini dengan kepala dan hati yang sangat berat. Aku tak tahu sama ada aku perlu gembira atau tidak semasa kapal mendarat. Dan secara jujurnya aku tidak tahu sama ada aku memerlukan percutian ini. Dan aku tidak ada langsung perancangan untuk apa percutian ini. Yang aku tahu dan mahu, aku perlu keluar dari KL dan jauh dari segala memori yang melukakan. Aku ingin mencipta memori baru. Memori aku sendiri.
Perkara pertama yang aku buat bila sampai ke bilik ialah tidur. Perkara yang sangat sukar untuk aku lakukan semenjak krisis ini bermula. Tidak selena yang diharapkan tapi cukup untuk memulihkan letih perjalanan. Aku harap, malam ini aku dapat tidur dengan lena.
Aku bukan sahaja memerlukan tidur, aku perlukan ruang untuk diri aku bernafas. Aku perlukan ruang untuk melihat ke belakang supaya aku boleh melangkah ke depan. Aku ingin tinggalkan segala duka aku di sini. Aku ingin tinggalkan segala duka aku disini. Aku harap semilir angin pulau dapat membawa jauh jauh rasa marah dan benci aku ke tengah lautan dan tinggalkan ia di sana. Aku berharap segala kesedihan aku akan dibawa oleh ombak dan dihempas ke batu lalu menjadi buih yang akhirnya hilang.
Demi Tuhan aku sunyi. Aku rindukan anak-anak ku dan aku rindukan dia. Aku sibukkan diri. Jadi perkara pertama yang kulakukan adalah mencari makanan. Bekalan di saat bosan melanda. Aku menyusuri pantai. Penuh dengan pelancong-pelancong yang kemerahan kerana berjemur di terik panas mentari. Aku sendiri berpeluh peluh menahan bahang panas di pulau ini. Pelik kerana awan berat membawa hujan sedang bergerak di atas kepala. Aku hirup dalam-dalam angin laut yang bertiup. Hati aku jadi sayu sekali. Lalu ku khabarkan kepada ombak, “Duhai ombak, bawalah duka ini pergi.. duhai angin laut, keringkanlah air mata ku.. aku tidak berdaya untuk menitiskan air mata lagi.. aku ingin tinggalkan segala lara hati ini di sini. Supaya aku tidak menangis lagi kerana seorang lelaki.”
Ku lihat kapal-kapal berlabuh. Bot- bot nelayan kembali ke pengkalan. Aku benar-benar rasa aman. Aku rasa sangat bodoh. Kenapa aku harus mensia-siakan hidup yang indah ini kerana kecewa dengan cinta seorang lelaki. Aku patut bersyukur dengan nikmat yang Tuhan telah kurniakan kepada aku. Aku ada anak-anak yang sayangkan aku tanpa syarat. Biar pun apa yang aku lakukan sekarang ini jauh dari menunjukkan kasih sayang sebenarnya seorang ibu.
Mengingatkan mereka aku kembali sedih. Air mata mengalir dipipi. Aku tekad.. selepas ini aku akan lebih kuat demi untuk mereka. Aku akan terus melangkah demi kebahagian mereka. Aku takkan benarkan duka ini menyentuh mereka. Aku akan pastikan hidup mereka penuh bahagia. Penuh ceria.
aku habiskan malam di Spa. Sangat menyenangkan dan menenangkan. Balik ke bilik mataku terus memberat. Sepanjang malam tidurku lena. Aku mimpikan bonda dan anak-anakku. Mereka semuanya gembira. Aku benar-benar rindukan mereka. Pagi terasa cepat menjelma.
Selesai sarapan, aku bersiap untuk check out. Aku ingin tinggalkan pulau ini dengan coklat yang banyak dan hati yang gembira. Aku membuat keputusan untuk mengelilingi pulau. Mungkin aku akan berjumpa sesuatu yang baru. Aku pening.
Pulau di utara Malaysia
18 Oktober 2008
4 comments:
"...tiba² aku terkejut dari tidur... aku bermimpi rupanya..." HAHAHAHAHA..!!!
apekah mimpinye??
Has,
Aku tabik laa....tak semua isteri setabah ko....Aku hanya mampu doa yg terbaik utk ko dan anak2..kalau bukan di dunia ini utk ko dapat kecapi ketenangan dan kegembiraan insyallah di akhirat nanti ko akan dapat ganjaran yg lebih.....kuatkan hatimu Has..jgn biarkan dia tahu yg ko sedih dan lemah....sekurang2nya jadilaa kuat utk anak2 mu....
ini cerite lame.. mase hati tengah rawan.. hehehe
skang ni kadang-kadang sawan jugak.. hehehe
Post a Comment