Terasa bosan pulak nak bercerita cinta.. Rasa macam nak cerita kenangan lain pulak. Cerita rumah tempat aku dibesarkan.
Aku membesar di kampung. Dari kawasan hutan belukar sampai sekarang dah bertukar menjadi kawasan pertanian tersohor dengan kawasan padinya di Selangor. (Pengumuman: Aku bukan JAWA!. Tok, tokwan aku orang Kedah. Mak orang perak.Aku boleh sebut ayarq and ayorr). Seingat aku, rumah mula-mula kami rumah pusaka tokwan. Lantainya kayu hutan berketam. Licin. Tiangnya bulat-bulat sebatang pokok kayu hutan. Gelegar, bendul, kekuda, tetupai dan segala lagi nama bahagian rumah hand-made (mengikut cerita mak aku). Aku masih ingat, aku duduk berjuntai kaki dari tingkap mengadap laman rumah. Hatta gigi depan aku patah masa berumur 3 tahun disebabkan jatuh 'terjerembab' tersepak bendul yg bulat itu.
Aku masih ingat depan rumah ada pokok jambu keling (kulit luarnya merah, isinya putih masam-masam manis), pokok mangga ciku, mangga telur, mangga 'apetah'. Dan macam-macam lagi pokok buah-buahan eksotik. Kami main perang-perang dengan anak jiran-jiran. Kemudian rumah pusaka ni kena robohkan. Ayah kata dah reput. Bahaya! Sebab tu gigi aku patah!
Rumah kedua kami bila Ayah beli kedai runcit kawannya dan kami pindah ke rumah baru yang ayah bina sedikit demi sedikit. Di rumah kedai ni, 4 orang adik aku lahir di sini. Kedai ayah sangat strategik tapi letaknya atas tanah wakaf jalan yg bersempadan dengan tanah Hj. Bakhil bin Kedekut. Hj. Bakhil ni tak bagi ayah berniaga disitu walaupon tanahnya semak bin samun. Kami pernah jumpa gajah! (Dalam tivi laa.. hehehe) Selalu ular menumpang teduh di rumah kami. Jadi kami pindah ke tapak asal rumah pusaka. Tak jauh pon, cuma sepelaung.
Ayah ada duit simpanan jadi ayah beli rumah orang dan dipindahkan secara gotong royong ke tapak rumah pusaka. Aku kagum sebab diorang boleh angkat rumah! Orang kampung aku semuanya superman! Boleh angkat rumah. Aku darjah empat masa kami berpindah ke rumah baru yang sangat tinggi! Padi mula ditanam dan laman rumah aku selalu banjir. Kalau hujan lebat, kami kena pindahkan selipar dan kasut-kasut naik atas rumah. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kami adik beradik akan menjerit-jerit "mak! mak! kasut hanyut". Mak cuma boleh tengok sebab mak tak berani nak turun. "Banyak katak, mak geli". Kami tak geli jadi kami main air dengan gembiranya.
Rumah kami tiada elektrik dan paip air. Air minum mak tadah air hujan. Mandi dan membasuh di parit depan rumah. Malam-malam ayah pam lampu minyak gas (gasoline). Nak tengok tivi kami pakai bateri. Terhad setakat pukul 10 malam sahaja. Hari minggu dua jam waktu pagi sahaja. Pukul 10 malam, kami semua dah tidur. Rumah kami tiada tilam. Bentang tikar, pasang kelambu dan tarik selimut. ZZzzzZZZz.
Mandi pagi nak kesekolah sangat simple. Semudah ABC. Buka baju, terjun pelantar, selam-selam, lompat naik rumah. Siapa yang malas nak terjun ayah curah berbaldi-baldi air. Aku dan 2 orang adik belajar berenang freestyle dalam parit ni la. Selalunya kami 'berkubang' kerbau style petang-petang diikuti dengan sessi perang selut/tanah liat dengan anak jiran di pelantar sebelah. Hasilnya, badan berkilat-kilat macam sawa batik dan sikit-sikit rupa kerbau balar. Ini diikuti dengan birat-birat diselinap (dirotan) 'regih nyor'. Aku dulu tomboy. Panjat pokok, main tembak-tembak... pendek kata nakal.. (bab main kena cerita lain kali.)
Mak memasak pakai dapur kayu api. Upgrade jadi dapur gas bila ayah buka kedai runcit. lampu gasoline upgrade jadi lampu kalimantang bila aku dah naik darjah 5. Lepas ada elektrik baru ada paip air. Paip air dipasang pon diluar rumah. Nun ditepi laman. Kami kena angkat air bawa naik ke rumah. Baru boleh pergi main. Tangan kami adik-beradik semua kuat-kuat. Tak perlu pergi gym. Kami tak perlu mandi parit lagi tapi kami tetap berkubang.. hehehe..
Lepas tu aku masuk sekolah berasrama penuh. Jauh di Melaka. Rumah kedua aku... Dulu aku benci dengan asrama aku. Sebab tak boleh mandi parit, panjat pokok jambu, lari-lari susup sasap dalam semak bila mak marah. Melompat-lompat celah anak padi. Tangkap ikan sepat, ikan laga, ikan puyu, ikan haruan, ikan keli, belut bla bla bla... Mak marah sebab kami tak makan ikan-ikan tu. Mak geli nak siang. Mak nak muntah bila makan.
Ahhhhhh! Aku rindu dengan bau sawah.. Aku rindu dengan desiran pokok padi yang menghijau laksana permaidani. Aku rindu dengan lambaian daun kelapa dan pokok pisang. Aku rindu dengan kenangan itu....
Nota:
regih nyor = bende alah yang macam keris tu. aku tau nama dia regih nyor sahaja. memang pedih kalau kena. Selalu kena selinap kat betis.
No comments:
Post a Comment